Lawatan Kerja ke Usahawan SPED-RCB, La Canggung Marketing Perkukuh Sokongan RCB Terhadap Industri Pemprosesan Makanan

Kangar, 25 Julai 2026 – Bersempena Program Konvoi MAIPs Peduli Bersama DYTM Raja Muda Perlis, Rural Capital Berhad (RCB) telah mengadakan lawatan kerja ke premis Usahawan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) bawah Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW),
La Canggung Marketing iaitu sebuah syarikat yang mengusahakan pengeluaran dan pemprosesan produk makanan berasaskan teknologi retort.
Delegasi RCB diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi, YBrs. Encik Abdul Rahman bin Ishak bersama wakil pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat RCB. Lawatan ini bertujuan meninjau operasi syarikat, memahami proses pengeluaran produk serta melihat potensi perkembangan perniagaan yang mampu meningkatkan daya saing usahawan tempatan.
Sepanjang lawatan, delegasi diberi taklimat mengenai keseluruhan rantaian pengeluaran produk berasaskan retort, bermula daripada penyediaan bahan mentah, proses pemprosesan, pembungkusan sehingga kepada aspek kawalan kualiti bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi piawaian keselamatan makanan dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.
Lawatan ini turut menjadi platform bagi RCB untuk bertukar pandangan bersama usahawan mengenai cabaran dan peluang dalam industri pemprosesan makanan, di samping meneroka ruang kerjasama yang mampu memperkukuhkan pertumbuhan perniagaan usahawan di bawah Program SPED.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *