Bahau, 27 Julai 2026 – Rural Capital Berhad (RCB) telah menyertai Program Jelajah Pendidikan Tinggi & TVET MARA Negeri Sembilan 2026 yang berlangsung di Dewan Seri Fazidah, Bahau, Negeri Sembilan. Program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai pelbagai peluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah MARA, sekali gus membantu mereka merancang hala tuju pendidikan serta kerjaya pada masa hadapan.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Seri Zulfikri bin Osman, Ketua Pengarah MARA; YBhg. Encik Zahari bin Aziz, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA; YB Dato’ Haji Shamsulkahar bin Haji Mohd Deli, Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA; YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Mohamed Said, Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM); YBhg. Tuan Haji Yahaya bin Sani, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation; YBrs. Encik Zaza Batista bin Mohd Tahir, Timbalan Pengarah MARA Negeri Sembilan; YBrs. Encik Annuar bin Rahim, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Jempol & Jelebu, YBhg. Datuk Seri Haji Mohd Salim bin Mohd Sharif, serta barisan pengurusan dan subsidiari MARA.
Penganjuran program ini menjadi platform penting dalam memperkenalkan ekosistem pendidikan MARA yang komprehensif kepada para pelajar, selain meningkatkan kesedaran mengenai laluan pendidikan berasaskan akademik dan TVET yang mampu melahirkan modal insan berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan industri. Kehadiran pelbagai institusi pendidikan dan subsidiari MARA turut memberi peluang kepada para pelajar dan ibu bapa mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan program pengajian, syarat kemasukan, pembiayaan pendidikan dan prospek kerjaya.
