Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) telah diadakan di Stadium Mini Pontian, Johor dari 33 sehingga 53 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)  yang pertama bagi tahun 2022 pada 3 hingga 5 Mac 2022 (Khamis hingga Sabtu) dengan penglibatan 6 agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) selain penglibatan dari bahagian-bahagian di bawah KPLB.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Majlis Daerah Pontian (MDP) dalam penyediaan tapak Program Mini KUD @ Pontian ini dan juga hebahan di laman-laman media sosial MDP. Program ini dijadualkan untuk bermula dari jam 10.00 pagi sehingga 10.00 malam dan dijangka akan menerima kira-kira 1,000 pengunjung setiap hari.

Perasmian program ini dijadualkan untuk diadakan pada 3 Mac 2022 (Khamis) dengan ketibaan Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid selaku perasmi pada jam 4.00 petang. Semasa majlis perasmian tersebut juga, YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid akan menyempurnakan penyampaian Muqassah kepada peminjam Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dari daerah Pontian, Johor.

Terdapat 3 objektif yang ditetapkan bagi tujuan pelaksanaan program ini iaitu:

  1. Menjadi platform untuk mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh Kementerian dan agensi yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar;
  2. Mempromosi dan menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk/ perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli; dan
  3. Meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.

Kumpulan sasar bagi program ini terdiri daripada usahawan luar bandar yang telah mendapat bimbingan Kementerian, agensi dan usahawan-usahawan luar bandar berpotensi yang memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan memperkembangkan perniagaan. Program ini juga menyasarkan penyertaan bahagian-bahagian dari Kementerian dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan kepada usahawan luar bandar. Selain daripada itu, program ini akan turut melibatkan pameran pendidikan daripada institusi-institusi pendidikan khususnya di bawah MARA.

Program Mini KUD ini diadakan secara fizikal di daerah Pontian, Johor bagi memberi peluang kepada penyertaan usahawan yang lebih ramai di kawasan tersebut dan kawasan sekitar. Selain itu, pelaksanaan program ini turut membuka ruang kepada usahawan luar bandar untuk berinteraksi, mendapatkan maklumat dan kemudahan daripada Kementerian dan agensi bagi meningkatkan produktiviti serta jualan produk.

PENGISIAN PROGRAM MINI KUD @ PONTIAN

Aktiviti Pameran Agensi dan Anak Syarikat

Penganjuran Mini KUD @ Pontian akan menampilkan Rural Business Challenge (RBC) Bistro buat julung-julung kalinya selepas penganjuran Pertandingan Program RBC kali terakhir pada tahun 2017. RBC Bistro dilihat dapat mencipta peluang akses pasaran yang lebih luas, meningkatkan aktiviti jualan, pelebaran jaringan perniagaan seterusnya berupaya mengembangkan perniagaan usahawan luar bandar khususnya usahawan RBC.

RBC Bistro pada kali ini juga bakal mengumpulkan 6 usahawan RBC yang telah berjaya memenangi geran perniagaan antara RM300 ribu sehingga RM1.5 juta pada tahun 2012, 2013, 2014 dan 2015.

Selain itu, pelaksanaan RBC Bistro pada Mini KUD @ Pontian ini juga adalah sebagai satu simbolik bagi memperkenalkan semula Program RBC yang dijangka bermula pada pertengahan tahun 2022 sekali gus membantu dalam mempromosikan program tersebut kepada para usahawan luar bandar yang berpotensi.

Aktiviti Jualan Usahawan

Sebagai fokus utama pelaksanaan Mini KUD @ Pontian ini, seramai 100 usahawan dari pelbagai agensi di bawah KPLB yang dikenalpasti akan menyertai program ini. Majoriti usahawan-usahawan luar bandar yang terlibat adalah terdiri daripada kategori makanan dan minuman, diikuti oleh kategori fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kategori kecantikan dan kesihatan, kategori kraftangan dan kategori produk pertanian.

Disamping itu juga, terdapat 10 usahawan yang akan menjual masakan panas signature dish negeri Johor sepanjang program ini berlangsung antaranya akan menjual masakan Asam Pedas, Ayam Engkong dan Nasi Ambeng selain daripada penyertaan daripada usahawan Food Truck.

Aktviti jualan usahawan ini akan disemarakkan lagi dengan penyediaan baucer penggalak jualan bagi meningkatkan lagi kuasa beli pembeli dan selanjutnya membantu meningkatkan hasil jualan usahawan yang menyertai Mini KUD @ Pontian ini.

Aktiviti Tarikan Pengunjung

Bagi memeriahkan suasana Mini KUD @ Pontian, beberapa aktiviti tarikan pengunjung telah dirancang dan bakal dilaksanakan antaranya adalah seperti berikut:

  1. Ceramah agama oleh Da’i Azam Al-Kankari;
  2. Fun Ride (Acara kayuhan berbasikal);
  3. Pertandingan Liga Sepakan Penalti yang terdiri dari dua kategori iaitu Terbuka dan Bawah 18 Tahun;
  4. Senamrobik;
  5. Tarian Kebudayaan Orang Asli Seletar;
  6. Persembahan Briged Seni RISDA;
  7. Pertandingan mewarna kanak-kanak terbuka
  8. Persembahan artis jemputan daripada Wany Hasrita, Ramlah Ram dan Ronnie Hussein serta Bell Ngasri selaku pengacara majlis;   
  9. Pocket Talk Keusahawanan;
  10. Mobile Learning INFRA; dan
  11. Cabutan bertuah.