Ahli Pengurusan

Pengenalan

    1. RCB berusaha melaksanakan urusannya dengan penuh integriti, cekap dan profesional dan pada masa yang sama terus beriltizam untuk mencapai tahap keberkesanan dan kecemerlangan tertinggi. Oleh itu, adalah penting agar RCB dimaklumkan mengenai apa-apa kelakuan tidak wajar yang telah atau akan berlaku yang akan menghalang pencapaian aspirasi tersebut.
    2. Salah satu cara yang digunakan oleh RCB untuk mengesan dan menangani isu kelakuan tidak wajar adalah melalui maklumat yang diterima daripada pemberi maklumat (whistleblower). Pada amnya, pemberi maklumat ialah seseorang dalam sesebuah organisasi (contohnya kakitangan, jururunding atau pembekal), yang melaporkan kelakuan tidak wajar dalam organisasi. Dalam usaha menggalakkan pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan menyampaikan maklumat mengenai apa-apa kelakuan yang dikatakan tidak wajar, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 merupakan saluran pelindung yang selamat untuk mereka melaporkan dengan jujur apa-apa kelakuan yang dikatakan tidak wajar (pemberian maklumat) kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Pihak berkuasa yang menerima laporan akan melindungi identiti pemberi maklumat dengan memberi mereka imuniti daripada tindakan sivil dan prosiding jenayah serta melindungi mereka daripada tindakan yang boleh memudaratkan mereka.
    3. Sebarang penambahbaikan / pengguguran kandungan Polisi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh IGU setelah kelulusan rasmi diperolehi daripada jawatankuasa melulus yang berkaitan.

Definisi Pemberi Maklumat

    1. Pemberi maklumat adalah pendedahan yang dilakukan oleh individu yang kebiasaaanya terdiri daripada pekerja di dalam agensi penguatkuasaan, agensi kerajaan atau syarikat swasta atau orang awam kepada orang-orang yang berkuasa sama ada di dalam organisasi atau mengikut budi bicara pemberi maklumat kepada mana-mana agensi penguatkuasaan yang lain, berkenaan salah tadbir urus korporat, rasuah, menyalahi undang-undang, atau apa-apa kesalahan lain yang dijalankan oleh individu atau sekumpulan individu di dalam organisasi. Apa-apa tindakan oleh individu tersebut boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang yang digubal di Malaysia. Bagi tujuan dasar ini, semua tindakan di atas dikenali sebagai kelakuan tidak wajar [seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (APPM 2010)].
    2. Pemberi maklumat ditakrifkan di bawah APPM 2010.

Tujuan

Polisi ini bertujuan untuk menggalakkan kakitangan RCB, pembekal atau mana-mana pihak luar untuk mendedahkan (memberi maklumat) apa-apa tingkah laku yang tidak wajar (seperti yang ditakrifkan di bawah APPM 2010) dalam pengetahuan mereka dan untuk memberi pelindungan kepada pekerja, pembekal dan pihak luar yang melaporkan dakwaan kelakuan tidak wajar atau kesalahan jenayah.

Skop dan Dasar

    1. Polisi ini ditubuhkan untuk menggalakkan dan membimbing pekerja, pembekal dan pihak luar untuk melaporkan salah laku yang didakwa. Dasar ini juga bertujuan untuk memastikan bahawa semua laporan tersebut akan disiasat dengan teliti dan tindakan yang bersesuaian diambil jika perlu. Bagi tujuan polisi ini, frasa tingkah laku yang tidak wajar seperti ditakrifkan oleh APPM 2010 perlu diambil kira tetapi tidak terhad kepada kesalahan berikut:-
      • melanggar mana-mana undang-undang yang digubal atau dasar KPLB, MARA dan RCB;
      • pendedahan berkaitan dengan ketidakadilan kepada mana-mana kakitangan atau pihak luar diteruskan oleh kakitangan atau pakatan sulit dengan kakitangan RCB;
      • menjejaskan kesihatan dan risiko keselamatan, termasuk risiko kepada orang ramai serta kakitangan lain secara sengaja;
      • berhubung dengan penyalahgunaan dana MARA atau RCB sehingga memudaratkan kepentingan;
      • melibatkan penipuan dan rasuah;
      • melibatkan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan kemudaratan kepada organisasi itu;
      • yang berkaitan dengan diskriminasi terhadap bangsa, agama, jantina atau ketidakupayaan; dan
      • menyembunyikan maklumat secara sengaja atau berkongsi maklumat tanpa kebenaran.

Jaminan Kerahsiaan

    1. Semua laporan dan identiti pemberi maklumat akan dilayan dengan cara yang sulit dan sensitif. Laporan hanya akan didedahkan kepada orang-orang yang diberi kuasa untuk menjalankan siasatan ke atas perkara- perkara yang berkaitan dengan laporan tersebut. Pemberi maklumat akan dimaklumkan mengenai mana-mana rujukan yang telah dibuat.
    2. Identiti Pemberi Maklumat juga akan diberikan perlindungan seperti yang digariskan di bawah APPM 2010 dan undang undang yang ditadbir oleh RCB.
    3. Perlindungan berikut akan diberikan kepada Pemberi Maklumat yang menzahirkan kelakuan tidak wajar kepada RCB dengan jujur:
      • identiti dirahsiakan;
      • perlindungan daripada liabiliti sivil dan jenayah bagi penzahiran yang dibuat; dan
      • perlindungan daripada tindakan yang memudaratkan.

Laporan Tanpa Nama

    1. Pemberi maklumat digalakkan untuk memaklumkan nama penuh atau maklumat lengkap mereka untuk dihubungi bagi memudahkan RCB mendapatkan penjelasan atau maklumat lanjut untuk tujuan siasatan selanjutnya terhadap kelakuan tidak wajar.
    2. Keputusan untuk membuat laporan tanpa nama mungkin menyebabkan pemberi maklumat tidak diberikan perlindungan di bawah APPM 2010, dan keupayaan RCB untuk membuat siasatan terhadap kelakuan yang dikatakan tidak wajar adalah terhad kepada kandungan laporan yang diterima oleh RCB.

Laporan Mala Fide

    1. Sekiranya Pemberi Maklumat membuat laporan dengan niat yang baik, yang tidak disokong dan disahkan oleh siasatan berikutnya, tiada tindakan akan diambil terhadap pemberi maklumat tersebut. Semasa membuat laporan, pemberi maklumat haruslah berhati-hati dalam memastikan ketepatan maklumat yang diberikan. Walau bagaimanapun, jika seseorang pemberi maklumat membuat laporan yang berbentuk mala fide, tindakan boleh diambil terhadap pemberi maklumat tersebut.
    2. Sekiranya kakitangan RCB membuat laporan mala fide, syarikat boleh mengambil tindakan disiplin ke atas kakitangan tersebut. Syarikat bertanggungjawab sepenuhnya untuk membuktikan bahawa kakitangan tersebut telah membuat laporan berbentuk mala fide. Sebaliknya, jika pihak pembekal membuat laporan berbentuk mala fide, RCB boleh mempertimbangkan untuk membuat laporan polis dan/atau mengambil tindakan yang perlu yang difikirkan sesuai.

Membuat Laporan dan Memberikan Maklumat

    1. Sebarang penzahiran laporan dan maklumat berkaitan kelakuan tidak wajar yang melibatkan RCB adalah digalakkan untuk membuat laporan melalui borang yang disediakan di Lampiran 1. Format ini diperkenalkan untuk memastikan semua maklumat yang berkaitan diserahkan dengan lengkap. Ia juga berfungsi sebagai panduan kepada semua pihak.
    2. Pemberi maklumat dinasihati untuk membuat laporan dengan memberikan butiran yang lengkap, termasuk maklumat yang berikut:
      • jenis atau keterangan perihal kelakuan tidak wajar;
      • nama individu yang membuat atau terlibat dengan kelakuan tidak wajar; dan
      • “bagaimana”, “apa”, dan “di mana” yang berkaitan dengan kelakuan tidak wajar dan disertakan dokumen sokongan atau bukti, sekiranya ada.

Penghantaran dan Penyerahan Laporan

    1. Panduan penyerahan untuk laporan pemberi maklumat adalah seperti yang dinyatakan di bawah:
      • Laporan mengenai Pegawai Unit Integriti dan Governans boleh dipanjangkan kepada Ketua Organisasi RCB; dan
      • Laporan mengenai Ahli Lembaga Pengarah, Pegawai Pegawai Pengurusan Tertinggi serta pegawai-pegawai lain atau kakitangan sokongaan boleh dipanjangkan kepada Unit Integriti dan Governans RCB.
    2. Aduan samada melalui borang yang ditetapkan atau format terbuka, hendaklah dihantar dalam sampul surat yang bertutup. Disamping itu, pemberi maklumat juga boleh mengemukakan aduannya melalui emel kepada whistleblowing@ruralcapital.com.my, sekiranya ingin membuat laporan.
Polisi

DASAR PEMBERI MAKLUMAT

Notis

KERAHSIAAN RURAL CAPITAL BERHAD

Muat Turun

BORANG PEMBERI MAKLUMAT