15 Mac 2025, Kuala Lumpur – Pada hari ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), satu peristiwa bersejarah telah tercatat apabila Wakaf MARA Madani telah dilancarkan secara rasmi oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia sempena sambutan Hari MARA yang ke-59.
Majlis ini turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, YBhg. Datuk Rubiah binti Wang, Timbalan Menteri KKDW, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA, YBhg. Dato’ Zulfikri bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA (menjalankan tugas Ketua Pengarah MARA), YBhg. En. Noor Hariri bin Mohamed Noor, Pengerusi RCB dan YBrs. Tuan Haji Hiruddin bin Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif RCB bersama warga kerja MARA dan subsidiari yang turut sama menjayakan aspirasi ini. Melalui peluncuran ini wargakerja MARA terutamanya dapat menyemai semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial untuk membina masa depan yang lebih cerah.
Majlis ini menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha memperkukuhkan sokongan terhadap pembangunan sosioekonomi, pendidikan dan keusahawanan menerusi inisiatif wakaf yang inovatif. Ia menjadi simbol komitmen MARA dalam menerajui perubahan positif selaras dengan aspirasi negara untuk mewujudkan masyarakat madani yang inklusif dan progresif.
Sempena peluncuran ini, RCB amat berbesar hati untuk memberikan sumbangan berjumlah RM 100,000.00 kepada Wakaf Madani MARA sebagai tanda sokongan pihak syarikat. Dengan inisiatif Wakaf MARA Madani, peluang kini terbuka luas untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui wakaf yang memfokuskan kepada pendidikan, latihan dan pembangunan keusahawanan. Inisiatif ini dijangka dapat memberi impak signifikan kepada komuniti khususnya dalam usaha untuk menyokong pelajar dan usahawan Bumiputera untuk terus maju.
Bersama kita melangkah ke arah sebuah negara madani yang makmur dan penuh kesejahteraan.
