Cheras, 7 Jun 2025 – Rural Capital Berhad (RCB) dengan penuh kesyukuran telah melaksanakan Program Ibadah Korban 2025 bertempat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Cheras, Kuala Lumpur.
Sebanyak tiga (3) ekor lembu telah disumbangkan oleh pihak RCB sebagai tanda keprihatinan dan komitmen sosial korporat dalam menyantuni masyarakat setempat bersempena sambutan Aidiladha. Program ini telah disertai oleh 18 orang kakitangan RCB termasuk Tuan Haji Hiruddin bin Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif RCB dan Encik Mohd Johari Idham bin Amiruddin, Ketua Korporat RCB yang turun padang menjayakan ibadah korban ini.
Menariknya, program tahun ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama Glocal Link (M) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat MARA Corporation, yang membantu dalam aspek logistik dan penyelarasan, sekaligus memperkukuh semangat kolaborasi antara pihak swasta dan komuniti setempat.
Aktiviti penyembelihan dan pengagihan daging korban telah berlangsung dengan lancar, teratur dan penuh semangat ukhuwah. Daging korban telah diagihkan kepada golongan asnaf serta penduduk sekitar yang memerlukan, selaras dengan tuntutan ibadah korban sebagai salah satu bentuk pengorbanan dan kepedulian sosial.
RCB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Masjid Al-Muqarrabin, Glocal Link (M) Sdn Bhd, warga kerja RCB, Kelab Rekreasi & Kebajikan Rural Capital (KRKRC) serta semua pihak yang telah menyumbang tenaga dan masa dalam menjayakan program ini. Diharapkan program seumpama ini dapat terus menjadi jambatan ukhuwah dan amal jariah yang berterusan di masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *