KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Seramai 10 orang pelajar asnaf menerima bantuan sumbangan sempena Program Hari Bertemu Pelanggan Siri 3/2025 dan Peace of Mind (POM) 2025 yang berlangsung di Pejabat MARA Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Majlis penyampaian bantuan disempurnakan oleh Pengarah MARA Negeri Terengganu, dengan turut dihadiri Team Leader Cawangan Rural Capital Berhad (RCB) Negeri Terengganu.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Rural Capital Berhad, yang bertujuan membantu golongan pelajar asnaf dan keluarga mereka meringankan beban kos sara hidup serta memotivasikan mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik.
Program anjuran Pejabat MARA Negeri Terengganu ini turut menyediakan pelbagai khidmat nasihat dan maklumat berkaitan peluang pendidikan, keusahawanan, pelaburan serta perkhidmatan rundingan penjadualan dan penstrukturan semula bayaran balik pinjaman pembiayaan MARA.
Kejayaan penganjuran program ini turut didokong oleh sokongan padu kakitangan Rural Capital Berhad dari Cawangan Kuala Lumpur dan Cawangan Selangor, yang bersama-sama menjayakan inisiatif ini demi manfaat komuniti setempat.