17 Mac 2025, Kangar – Pejabat MARA Negeri Perlis pada hari ini telah menganjurkan majlis berbuka puasa bertempat di Pejabat MARA Negeri Perlis. Program yang penuh bermakna ini melibatkan kehadiran kakitangan MARA, subsidiari MARA serta anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis, Kompleks Penyayang Tun Dr. Siti Hasmah.
Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Zulfikri Bin Osman bersama Ketua Pegawai Eksekutif RCB, Tuan Haji Hiruddin bin Hashim dan jemputan khas seramai 29 orang anak yatim. Dalam usaha menyemarakkan semangat Ramadan ini Rural Capital Berhad (RCB) dengan penuh keikhlasan telah menyumbangkan duit raya dan Ramadan Food Box kepada setiap anak yatim yang hadir.
Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban dan membawa keceriaan kepada anak-anak yatim khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat ini. Melalui program seperti ini, MARA dan RCB terus memperkukuhkan komitmen mereka dalam menyantuni komuniti yang memerlukan dan menyebarkan semangat perpaduan serta kasih sayang.
Sokong inisiatif kami seperti ini untuk memastikan lebih ramai lagi dapat merasai nikmat keberkatan Ramadan.