Kuala Lumpur, 23 Januari 2025 – Kempen Bayar dan Menang Bersama MARAeps 2025 telah melabuhkan tirainya dengan penuh meriah menerusi Sesi Cabutan Bertuah yang telah berlangsung bagi meraikan penyertaan dan komitmen para pelanggan MARA dalam melaksanakan bayaran balik pembiayaan secara konsisten dan berdisiplin.
Kempen yang dianjurkan selama tiga bulan bermula September hingga November 2025 ini merupakan kempen kali ke‑5 sejak diperkenalkan pada tahun 2021 dan terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna MARAeps di seluruh negara.
Sepanjang tempoh kempen, sebanyak 844 penyertaan telah direkodkan melibatkan bayaran bagi pinjaman pelajaran, pembiayaan perniagaan dan sewaan premis MARA dengan jumlah kutipan keseluruhan mencecah RM7.4 juta.
Pelbagai hadiah menarik telah disediakan termasuk Nintendo Switch, E‑Scooter, Xiaomi Watch S4 Smartwatch serta hadiah saguhati AEON e‑Voucher. Manakala, Hadiah Utama yang menjadi tumpuan utama kempen tahun ini adalah EV Motor Lion (G1).
Sesi cabutan bertuah ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Hiruddin bin Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Rural Capital Berhad (RCB), yang menyerlahkan komitmen RCB dalam menghargai pelanggan MARA.
Kempen ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kutipan bayaran, malah menyokong agenda pendigitalan pembayaran MARA melalui platform MARAeps, di samping memupuk budaya pembayaran yang lebih sistematik dan berdisiplin dalam kalangan pelanggan.
RCB merakamkan setinggi‑tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pemenang serta terima kasih kepada semua peserta yang terus menyokong MARAeps. Nantikan pelbagai lagi kempen dan inisiatif menarik kami pada masa akan datang.
