KUALA TERENGGANU, 15 Mei – Rural Capital Berhad (RCB) Cawangan Terengganu telah dijemput untuk menyampaikan taklimat perkhidmatan kepada warga kerja MARA Negeri Terengganu dalam satu sesi khas yang berlangsung di Pejabat MARA Negeri (PMN) Terengganu hari ini.
Taklimat ini memberi penerangan menyeluruh berkenaan empat teras utama perkhidmatan yang ditawarkan oleh Rural Capital Berhad, iaitu pengurusan bayaran balik pinjaman, pembiayaan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED), penyelesaian berasaskan digital, serta perlindungan Takaful.
Sesi tersebut telah disempurnakan dengan kehadiran Pengarah MARA Negeri Terengganu, En. Mohd Farris Bin Radzuan, bersama barisan Pegawai Pejabat MARA Daerah (PPMD) dari seluruh negeri. Taklimat ini turut mendapat sokongan penuh daripada MARA Negeri khususnya dalam aspek perlindungan Takaful yang dilihat mampu memberi manfaat besar kepada usahawan serta peminjam MARA.
RCB Cawangan Terengganu berharap agar sesi ini dapat memperkukuh hubungan strategik antara RCB dan MARA dalam usaha bersama memantapkan lagi perkhidmatan dan sokongan kepada masyarakat luar bandar, selaras dengan agenda pembangunan ekonomi bumiputera di Terengganu.